Judul : KOPI - KOPI ANGGEREK
link : KOPI - KOPI ANGGEREK
KOPI - KOPI ANGGEREK
KOPI ANGGEREK merupakan satu jenama kopi yang telah lama dipopularkan di Malaysia. Walau pun di sebalik banyak kemunculan pelbagai jenama kopi di pasaran baru, kita tentunya pernah menyedari satu jenama tempatan yang dikenali sebagai Kopi Anggerek. Masyarakat di mana-mana sahaja di seluruh pelusok dunia pastinya mengenali dan sedia maklum dengan kenakan serta kelazatan rasa minuman yang dikenali sebagai minuman kopi. Di negara kita usaha bagi menghasilkan pelbagai produk minuman berasaskan kopi serta kemunculan restoran berkonsepkan kopitiam dan starbuck sudah semakin berkembang dengan pesat. Perluasan 'empayar' kopi tersebut adalah disebabkan oleh penerimaan menggalakkan dari ahli masyarakat yang sering menjadikannya sebagai minuman harian. Kini ramai penggemar kopi juga turut ditawarkan dengan pelbagai lagi khasiat tambahan menerusi kopi campuran beberapa bahan seperti ginseng dan juga herba. Mungkin ramai yang tidak mengetahui, rumusan kopi Anggerek secara tradisi tersebut sebenarnya telah dihasilkan secara turun-temurun sejak 30 tahun lalu oleh FAMA di kilangnya yang terletak dikawasan Kanchong Darat, Banting, Selangor. Difahamkan ketika awal penubuhannya pada tahun 1973, kilang kopi FAMA hanya berperanan sebagai pusat pengumpulan dan pemprosesan biji kopi dalam usaha membantu penanam kopi di kawasan Kuala Langat untuk memasarkan hasil daripada tanaman mereka. Ketika itu, daerah tersebut merupakan kawasan pengeluaran biji kopi jenis Liberica yang terbesar di Malaysia dengan keluasan tanaman sekitar 6,800 hektar tetapi kini kebanyakannya telah bertukar kepada tanaman kelapa sawit dan kawasan perumahan. Kini selepas beberapa tahun menjalankan kerja-kerja tersebut, iaitu bermula awal tahun 80-an, FAMA akhirnya mengambil keputusan untuk memulakan aktiviti pemprosesan serbuk kopi campuran di bawah penjenamaan Anggerek. Artikel malam Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kopi jenama Kopi Anggerek dan info berkaitan dengan industri kopi untuk rujukan dan bacaan anda.
Kilang kopi Anggerek tersebut telah pun menjalankan semua peringkat aktiviti penghasilan kopi campuran berkenaan bermula dari pengumpulan biji kopi, penggredan (Grading), pemprosesan, pembungkusan dan juga pemasaran. Kopi campuran mendapat sambutan yang baik daripada penggemarnya kerana ia mempunyai formulasi campuran khas yang memberi kelazatan kepada rasanya. Ia berbeza dengan kopi asli yang mempunyai rasa pahit kerana dihasilkan daripada secara 100 peratus biji kopi tanpa sebarang campuran. Apa yang menarik mengenai kopi campuran Anggerek adalah kerana ia dihasilkan daripada rumusan asas 60 hingga 70 peratus kandungan serbuk kopi yang dicampurkan dengan bahan-bahan seperti gandum, soya, gula, marjerin, garam dan bijan bagi menambah cita rasanya. Proses penghasilannya melibatkan kerja memanggang biji kopi di dalam ketuhar khas selama lebih kurang 20 minit pada suhu 160 - 200 darjah Celsius sebelum dicampurkan dengan bahan-bahan tersebut. Adunan itu kemudiannya akan dikacau secara berterusan di dalam kuali pembakar yang menggunakan minyak tanah atau diesel selama 20 minit untuk dapat memastikannya sebati sebelum menghasilkan asap yang banyak setelah benar-benar masak. Selepas itu, adunan berkenaan akan dituang ke dalam dulang besar untuk dikering dan disejukkan menggunakan kipas angin selama 15 minit sambil digaul secara perlahan-lahan.
Setelah sejuk, adunan akan membentuk ketulan-ketulan besar dan keras kemudian akan dimasukkan ke dalam mesin khas yang dikenali sebagai 'mesin pecah' sebanyak dua pusingan untuk menghasilkan serbuk kasar. Proses seterusnya, ia akan dikisar dengan mesin khas untuk menghasilkan serbuk kopi campuran yang halus sebelum dihantar ke peringkat akhir iaitu pembungkusan. Kopi campuran itu akan dipaketkan ke dalam empat variasi bungkusan iaitu 80 gram, 200 gram, 300 gram dan juga di dalam tin seberat 320 gram. Setiap proses penghasilan kopi campuran tersebut biasanya akan melibatkan adunan bahan seberat 96 kilogram (kg) dan hasil akhir selepas dikisar mempunyai berat lebih kurang 76 kg. Kini FAMA turut menghasilkan beberapa lagi produk kopi lain seperti Kopi Roast & Ground iaitu serbuk kopi asli untuk kegunaan restoran selain kopi pra campuran tiga dalam satu dan tiga dalam satu tongkat ali. Kopi pra campuran tersebut dihasilkan melalui gabungan serbuk kopi sebanyak 30 peratus bersama bahan-bahan lain seperti gula dan creamer serta bahan tongkat ali di dalam mesin pengadun. Adunan itu kemudiannya akan dimasukkan lagi ke dalam mesin pembungkus untuk dihasilkan dalam paket-paket kecil seberat 25 gram setiap satu. Apa yang menarik, kesemua produk kopi tersebut menggunakan paket pembungkus aluminium kedap udara bagi tujuan mengekalkan kualiti serbuk kopi supaya tahan lama dan tidak mengeras.
Jika dilihat dari proses penghasilannya pula, kilang terbabit menggunakan mesin jenis semi manual yang memang perlu dibantu oleh tenaga manusia. Ia secara tidak langsung dapat membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat yang juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial FAMA. Setakat ini, syarikat mempunyai lebih kurang 15 orang kakitangan yang membantu menjalankan kerja-kerja bermula dari proses membakar biji kopi hinggalah ke peringkat pembungkusan. Selain itu, dengan cara tradisional ini juga, ia akan dapat mengekalkan identiti proses menghasilkan kopi sejak turun-temurun. Dari segi bekalan biji kopi, pihak FAMA mengimport biji kopi jenis Robusta dan Arabica dari Indonesia kerana penanaman di negara ini tidak mampu menampung keperluan kilang. Bagi menggalakkan perkembangan pasaran kopi secara lebih agresif, FAMA turut membuka peluang kepada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) yang berminat untuk terlibat secara langsung dalam bidang tersebut. Kesemua produk kopi FAMA kini telah dipasarkan secara meluas di seluruh negara di mana Sabah dan Sarawak menguasai pasaran domestik sebanyak 80 peratus. Pasarannya turut diperluaskan ke luar negara seperti China dan juga negara-negara seperti Timur Tengah. FAMA sedang dalam proses perancangan untuk memperkembangkan produknya seperti kopi dengan campuran sarang burung, kopi cappuccino, teh uncang selain mewujudkan rangkaian kopitiam sendiri berjenama Anggerek. Wasallam!.
KOPI ANGGEREK..DARI FAMA...
PRODUK ASLI ... SUDAH LAMA...
PRODUK BARU...ADA JENAMA...
KOPI DIIMPOT... LOKAL PUN ADA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pasaraya Mydin,
Air Keroh, Melaka,
Malaysia.
(17 Safar 1436H)
Demikianlah Artikel KOPI - KOPI ANGGEREK
Sekianlah artikel KOPI - KOPI ANGGEREK kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel KOPI - KOPI ANGGEREK dengan alamat link https://contoh-definisi-pengertian.blogspot.com/2014/12/kopi-kopi-anggerek.html