Judul : REBUNG - KHASIAT DAN MANAFAAT
link : REBUNG - KHASIAT DAN MANAFAAT
REBUNG - KHASIAT DAN MANAFAAT
REBUNG adalah tunas muda yang tumbuh dari bahagian akar buloh yang keluar dari pangkal pokok buloh. Penduduk Asia secara umumnya menggunakan rebung sebagai bahan makanan yang dikategorikan sebagai sayuran. Selain daripada dimakan segar, rebung digunakan dalam bentuk 'rebung jeruk' yang tahan disimpan dengan lebih lama. Pada masa ini ada jenis rebung sudah dapat diproses untuk berbagai macam produk bahan makanan berasaskan rebung seperti tepung rebung yang memiliki kandungan intipati tinggi, cuka rebung, kerepek rebung, rebung sejukbeku dan jeruk rebung. Masyarakat di Malaysia lebih kenal rebung sebagai sejenis sayuran yang enak terutama masak lemak pedas untuk hidangan masakan di rumah. Rebung memiliki rasa yang lazat dan diketahui boleh membuat selera makan nasi bertambah. Penulis sendiri memang menikmati hidangan rebung segar semenjak kecil dahulu kerana mempunyai beberapa rumpun buloh rebong di kawasan belakang rumah yang masih ujud sehingga kini (sudah lebih 50 tahun umur rumpun buloh ini). Cara menyediakan sayur rebong berbagai cara dan resepi tetapi paling popular adalah rebung masak lemak cili api dengan daging lembu atau daging ayam atau udang. Dalam pasaran kita mudah mendapatkan rebung yang ditinkan terutama produk yang diimpot daripada negara China. Terdapat juga produk daripada Thailand dan Taiwan yang dijual dipasaraya dan dijual dengan harga yang munasabah. Bagaimana pun pada saya hanya berminat terhadap rebung segar yang dipetik sendiri atau dibeli dari pasar atau pasar tani dan kurang minat dengan rebugn jeruk. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai buloh rebong untuk bahan rujukan dan bacaan anda.
Antara resepi popular untuk masakan rebung buloh di Malaysia adalah Masak Rebung Cili Api dengan daging ayam atau daging lembu atau udang. Bagi resepi ini kita menyediakan bahan-bahan asas yang diperlukan adalah 800 gram rebung buluh betong segar yang telah dibersihkan, 1/2 cawan isi udang atau daging dihiris nipis atau daging ayam, cuci bersih dan toskan. Bahan lain digunakan adalah 3 batang serai yang dititik, 2 helai daun kunyit yang disiat-siat, 1 keping asam gelugor, 1 liter santan cair, 300 ml pati santan dan akhir sekali garam dan gula secukup rasa. Bahan yang perlu dikisar halus adalah satu (1) genggam cili padi kampung jenis hijau dengan 1/2 inci kunyit hidup tua, 6 biji bawang merah dan 2 ulas bawang putih. Awal sekali rebung dihiris nipis atau gunakan penyagat atau pisau tajam mengikut kesesuaian. Cuci sehingga bersih dan kemudian celur hingga rebung sedikit lembut dan ditoskan (kalau hendak lebih sedap lagi celur guna air kelapa dari kelapa segar yang kita guna untuk memasak gulai). Kemudian rebung ini diketepikan dan dimasukkan rebung celur bersama serai titik dan udang ke dalam periuk. Tambah bahan2 kisar halus dan kacau rata dan perlu dimasak sekejap atas api. Kemudian tuang santan cair, kacau rata dan biar mendidih hingga rebung lembut. Masukkan asam gelugor dan pati santan. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula, biar mendidih dengan api perlahan. Akhir sekali masukkan daun kunyit dan masak sekejap lagi sehingga rasa sesuai dan kemudian matikan api.
Sebenarnya manafaat rebung sebagai bahan masakan sudah dilakukan sejak zaman dahulu dimana rebung boleh dituai sepanjang tahun atau tanpa mengenal musim. Rebung yang terbit pada pangkal rumpun buloh berbentuk kon yang tajam dibahagian atasnya dan saiz ukurlilit batang bergantung krpada spesis rebung. Ia perlu dipotong dengan parang tajam atau terjah yang mampu memotong bahagian akar. Ia akan menghasilkan lebih banyak rebung kalau selalu dilakukan aktiviti penuaian. Apabila dibuang kulitnya, kebanyakan isi rebung adalah berwarna putih krim yang menarik dengan aroma yang segar (Sila lihat foto sebelah). Penulis mendapati di Malaysia penghasilan rebung buloh adalah sepanjang tahun tetapi penuaian rebung agak tinggi (memuncak) antara bulan Disember hingga Februari atau pada musim hujan. Rebung boleh dikutip ketika sudah mencapai ketinggian sekitar 20 cm dengan diameter sekitar 7 cm. Penting diperhatikan adalah agar buloh rebung tidak boleh terlambat untuk dituai kerana jika terlambat selama sekitar 2 bulan maka rebung akan berubah menjadi anak pokok buloh yang keras sehingga tidak memungkinkan untuk dijadikan sebagai bahan masakan.
Dalam beberapa laporan saintifik, rebung telah pun diketahui mengandungi berbagai khasiat yang terdiri daripada Air (dengan kandungan tertinggi sebesar 91%), protein, thiamin, karbohidrat, lemak, kalium, vitamin A, vitamin C, besi, fosfor, dan lainnya. Kandungan karbohidrat, protein dan lemak sebenarnya hampir sama jika dibandingkan dengan berbagai jenis sayur-sayuran yang lain. Begitu pula dengan kandungan kalium pada rebung yang cukup tinggi iaitu 533 mg per 10 gramnya. Makanan yang kaya dengan kalium sekitar 400 mg didakwa sangat bermanfaat untuk mengurangkan risiko serangan stroke. Penderita stroke biasanya mengalami kekurangan mineral ini. Orang yang menderita kekurangan kalium, biasanya akan mengalami kekejangan otot. Mereka boleh mengambil sayur rebung untuk mencukupi keperluan unsur kalium harian dalam badan. Kajian juga mendapati selain kalium, Rebung juga sangat kaya dengan serat (Fiber) iaitu sebanyak 2.56%. Kandungan serat pada rebung ternyata lebih tinggi jika dibandingkan dengan jenis sayuran tropika yang lain seperti Sawi (1.01%), Timun (0.61%), Kacang Soya (1.27%) dan sebagainya. Pada masa ini masih ujud pada dasarnya manusia yang mengalami kes-kes kekurangan serat pada tubuhnya tidak akan mengalami gejala yang spesifik iaitu tidak seperti kekurangan zat-zat lainnya. Bagaimana pun ketercukupan serat harus terpenuhi dengan baik untuk meningkatkan aktiviti metabolisma tubuh.
Kekurangan serat ternyata boleh juga menyebabkan berbagai jenis penyakit. Kekurangan serat boleh menyebabkan terjadinya aterosklerosis atau pembuluh darah tersumbat, diabetes melitus, hiperkolesterolemia, sakit jantung, kanser usus besar (kolon) dan sebagainya. Serat merupakan zat yang berbentuk karbohidrat kompleks dan biasanya banyak terdapat pada dinding sel tanaman sayuran termasuk Rebung Buluh. Lazimnya bahan serat memang tidak boleh dicerna dan diserap oleh saluran pencernaan. Bagaimana pun memang telah diketahui ia memiliki fungsi yang sangat penting iaitu untuk memelihara tahap kesihatan manusia seperti dapat mencegah ancaman serangan berbagai jenis penyakit dan merupakan komponen penting dalam terapi zat permakanan. Pengambilan bahan serat daripada rebung buloh ini adalah satu pemilihan yang baik. Bagaimanakah kadar pengambilan rebung buluh penduduk kita?. Beberapa sumber rujukan manyatakan ianya hanya purata sekitar 10.5 gram seorang seharian. Ini amat jelas bahawa ia ditahap masih kurang kerana keperluan ideal yang mesti dicukupi ialah sebanyak 30 gram serat setiap orang sehari. Oleh itu pengambilan buloh rebung boleh menjadikan anda memyelesaikan beberapa masala kesihatan yang dinyatakan diatas. Apa pun pastikan mengamnil buloh rebong segar yang diproses dengan betul atau membeli rebung buloh dalam tin yang dijamin kualtitinya (belum expired lagi pada label). Selamat menjamu selera rebung buluh yang dimasak lemak cili api. Wasallam!.
REBUNG BULOH... APA GUNA...
DIMASAK SEGAR... JERUK JUGA...
LEMAK CILI API.. ADUH ENAKNYA...
BUAT SENDIRI... ADA RESEPINYA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Tangkak,
Jalan Kg Bekok, Tangkak,
Ledang, Johor,
Malaysia.
(15 Syawal 1435H)
Demikianlah Artikel REBUNG - KHASIAT DAN MANAFAAT
Sekianlah artikel REBUNG - KHASIAT DAN MANAFAAT kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel REBUNG - KHASIAT DAN MANAFAAT dengan alamat link https://contoh-definisi-pengertian.blogspot.com/2014/08/rebung-khasiat-dan-manafaat.html